pErMaInAn mElAyU

mEmArTaBatKaN sEnI dAlAm pErMaInAn..^_^

pErMaInAn yAnG dIgEmArI oLeH pElBaGaI gOloNgAn....kAnAk-kAnAk,rEmAjA,dEwAsA,oRaNg tUa

Permainan tradisional berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita.


Selasa, 6 September 2011

gUli


Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.
Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.

Gelanggang

Satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam 7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m. daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.

Cara Bermain

Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.
Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.

Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.

Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.

Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.

cArI cUcu


Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak diluar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka.
Didalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat.

Menentukan Nenek

Sebelum permainan dimulakan seorang dari mereka haruslah menjadi nenek. Bagi menentukan nenek maka undian secara lai lai li tam plong perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta.

Permainan Cari Cucu

Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan diantara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.
Nyanyian

Nenek, nenek,
si bongkok tiga.
Siang mengantuk,
malam berjaga.
Mencari cucu
dimana berada.
Nenek kahwin
dengan anak raja
.
Ketika cucu bernyanyi berpusing-pusing mengelilingi nenek, maka perlakonan nenek seperti orang buta terbongkok-bongkok dengan menggunakan tongkat mencari jalan.
Setelah cucu tamat mendendangkan nyanyian, maka nenek pula mengambil giliran mendendangkan nyanyiannya.


Nyanyian
Cucu, cucu
tak dapat lari.
Nenek tua
banyak sakti.
Sekarang nenek
nak cari ganti.
Siapa yang kena,
dia menjadi
.
Setelah selesai dendangan nenek masing-masing cucu duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat nenek mencari-cari cucu yang mendiamkan diri disekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul.
Sekiranya tekaan nenek itu betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan diteruskan.